Kanak-kanak perempuan 12 tahun dilapor hilang di Perak, ditemukan di Klang. Polis dedah punca dia keluar rumah

BAGAN SERAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya di Parit Tok Hin, Tanjung Piandang di sini, petang kelmarin, ditemukan dalam keadaan selamat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintenden Hudri Mohd. Arshad berkata, kanak-kanak itu, Nur Safiyyah Mohd. Shukri ditemukan pada kira-kira pukul 2 pagi di kawasan Klang, Selangor dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini seterusnya diserahkan kepada keluarganya.

Katanya, terdahulu pihak polis menerima satu laporan mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada pukul 7.19 petang semalam.

“Bertindak atas laporan itu, satu kertas siasatan Orang Hilang telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian dan telah mengesan Nur Safiyyah berada di Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hudri, hasil siasatan awal mendapati, Nur Safiyyah bertindak keluar dari rumah berpunca daripada rasa tidak puas hati dan merajuk kerana sering ditegur oleh kakak dan ibunya.

Beliau berkata, Nur Safiyyah dipercayai menaiki bas seorang diri sehingga ke Terminal Bersepadu Selatan Sungai Besi di Kuala Lumpur.

“Selepas itu, Nur Safiyyah menaiki Grab ke rumah rakan yang dikenalinya kurang dari sebulan melalui laman Facebook di Klang,” katanya.

SIARAN MEDIA KES KANAK-KANAK HILANG OLEH DSP HUDRI BIN MOHD ARSHAD PEMANGKU KETUA POLIS DAERAH KERIAN

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu yang boleh mengeruhkan keadaan dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran awam.

Semalam, akhbar ini melaporkan kanak-kanak perempuan itu keluar dari rumahnya pada petang kelmarin membawa dua beg pakaian serta wang RM200 tanpa dapat dikesan oleh pihak keluarga. – UTUSAN