"Harapkan perancangan tahun dipermudahkan, Nak Kahwin..??Nad berkerja semula..",-
Harapkan perancangan tahun dipermudahkan, Nak Kahwin? Nad berkerja semula
Nad Zainal berhasrat untuk mula bekerja dalam bidang lakonan Mac ini sekiranya keadaan kesihatannya mengizinkan.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin berharap segala yang dirancang untuk tahun ini dapat dilaksanakan.
“Bukan sekadar berlakon saja, saya juga berharap diberikan kesihatan yang baik. Saya mempunyai banyak perancangan nak dibuat untuk tahun ini.
“Jadi, saya harapkan segala perancangan itu dipermudahkan. Saya juga harap dapat beri lebih tumpuan kepada keluarga saya. Insya-Allah jika tiada arah melintang dan kesihatan pun dalam keadaan baik, mungkin dah boleh mula kerja pada bulan Mac,” katanya.
Hampir empat minggu menerima rawatan di hospital termasuk ditidurkan akibat jangkitan kuman pada paru-paru, Nad berkata, dia mahu mengambil peluang sekarang untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Saya ingin menggunakan peluang ini untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Ini kerana kita tidak dapat menjangka jadual pada masa hadapan. Siapa tahu mungkin selepas ini saya akan kembali sibuk,” katanya.
Terdahulu, Nad dirawat di sebuah pusat perubatan di Ampang, di sini, sejak 20 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Nad yang membuat sesi siaran langsung di TkTok berkata, apa yang berlaku adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Selama sebulan di hospital adalah pengalaman bermakna dan tak akan dapat saya lupakan. Ia membuatkan saya lebih menghargai kehidupan dan akan lebih berhati-hati.
“Saya akan selalu melakukan pemeriksaan kesihatan selain nak hargai semua makanan. Tak mahu buang-buang dah. Nanti kita cerita selebihnya. “Sekarang ini saya cuma nak kongsikan keadaan saya. Apa yang terjadi sepanjang saya jalani rawatan akan saya kongsikan nanti, termasuk apa yang saya mimpi ketika tidak sedar,” katanya
Nad yang kelihatan sebak ketika siaran langsung itu turut berkongsi reaksi anak-anak sebaik melihatnya kembali sihat. “Sudah tentu mereka gembira. Ibu bapa saya datang terlalu awal sebelum saya dibenarkan keluar hospital.
“Jadi saya minta kebenaran pihak hospital untuk saya jalan keluar ke kereta ibu bapa. Nak tengok anak-anak saya. “Saya berjalan buat pertama kalinya dari hospital. Saya nampak Som (panggilan anak kedua), dia tunjuk ke arah saya dan cakap ‘mummy’.
“Boleh nampak dari dalam kereta, Som dah senyum dan barisan gigi dia sudah penuh. Ketika saya dalam wad, dia sakit gusi sebab nak tumbuh gigi. “Itulah pengalaman yang saya tak boleh lupa dengan melangkah keluar kena matahari. Dia macam ‘wow’ hidup baru. Begitulah, sebulan kot tak jumpa anak,” katanya .
Menurut Nad, buat masa ini dia akan berehat daripada dunia lakonan selepas mengambil kira pelbagai faktor serta nasihat keluarga dan rakan-rakan. Dalam masa sama, Nad turut menghargai semua pihak yang menitipkan semangat serta doa yang baik-baik serta meminta segelintir pihak agar menghentikan spekulasi yang tidak berasas.
Antaranya Nad menolak dakwaan yang mengatakan punca penyakit yang dialaminya adalah disebabkan supplemen yang diambilnya. “Timbul isu kononnya saya sakit kerana makan supplemen sampai jadi viral. Ternyata spekulasi itu tidak betul sama sekali.
“Ini sedikit sebanyak buat saya sangat bersalah sampai fikir kenapa saya sakit sampai mengganggu perniagaan orang. Ini luar kawalan saya. Saya nak terangkan ia tak ada kaitan dengan supplemen,” katanya.
Sumber : Hmetro