“Saya Perlu Doa Kawan-Kawan... ” –“Bapa Kongsi Situasi Terkini Nad Zainal
“Saya Perlu Doa Kawan-Kawan” – Bapa Kongsi Situasi Terkini Nad Zainal
“Saya memerlukan doa kawan-kawan… semua orang mendoakan yang baik-baik.”
Demikian kata bapa kepada Nad Zainal, Zainal Abidin, 63, selepas pelakon itu dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di KPJ Ampang Puteri, sejak Isnin susulan masalah paru-paru berdarah.
Zainal berkata, dia berterima kasih kepada semua apabila ramai pihak yang ikhlas menitipkan doa buat anak tunggalnya itu.
“Saya percaya Nad juga memerlukan doa daripada kawan-kawan. Mereka (penggiat seni) semua datang berikan semangat kepadanya.
“Saya juga mengharapkan agar peminat dapat mendoakan yang baik-baik dan kesembuhan kepada anak saya.
“Terima kasih juga kepada peminat yang mengirimkan doa serta kata-kata yang baik. Malah saya dapat tahu ada juga kawan-kawannya yang mengadakan sesi bacaan Yasin hari ini, alhamdulillah,” katanya kepada MH ketika ditemui pada Rabu.
Nad Zainal ditidurkan semula, paru-paru belum cukup kuat
Pelakon Nad Zainal, 32, yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini ditidurkan semula kerana paru-parunya belum cukup kuat untuk dia bernafas sendiri.
Perkara ini dikongsikan oleh teman rapat Nad juga pelakon, Ungku Ismail Aziz, 36, di Instagram Story sejak beberapa jam lalu. Katanya dia memohon maaf kepada semua pihak.
“Nad Zainal kena intubate (ditidurkan) semula. Ini adalah kerana paru-parunya masih belum cukup kuat untuk dia bernafas sendiri, walaupun dengan menggunakan ‘high flow oxygen mask’ di ICU.
“Semalam jam 3 petang saya ziarah, dia sudah sedar dari ‘sedation’ (ubat penenang), dia angguk lebih lega dengan ‘intubation as oxygen’,” tulisnya
Bagaimanapun, Ungku Ismail memaklumkan tahap oksigen dalam darah Nad merosot selepas pihak hospital menanggalkan mesin alat penafasan yang disambungkan kepada pelakon itu.
“Disebabkan paras oksigen merosot, pihak hospital mengambil langkah meletakkan Nad dalam keadaan rehat supaya pernafasannya lebih terjaga. Ini kerana, oksigen mula merosot pada sebelah malam selepas alat bantuan pernafasan ditanggalkan,” katanya.
Justeru, Ungku Ismail memohon pada semua peminat dan netizen prihatin yang menyayangi Nad agar terus menitipkan doa meminta kesembuhan untuknya daripada Allah. Katanya, semoga Nad diberi keajaiban dipulihkan semula para-parunya seperti sedia kala.
Semalam, media melaporkan Nad sudah sedar dan mula memberikan maklum balas seperti bercakap perlahan dan bergerak. Malah, doktor juga memutuskan untuk mengeluarkan tiub bantuan pernafasannya.
Terdahulu, pada 22 November, Nad juga pelakon drama Cina Buta dimasukkan ke ICU selepas tidak sedarkan diri akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Difahamkan juga, rakan penggiat seni turut menubuhkan tabung kecemasan bagi mengumpul sumbangan buat Nad yang dilancarkan sejak beberapa hari lalu dan hingga kini berjaya mengutip RM70,000.
Tujuan kutipan dana itu dibuat adalah untuk menampung kos rawatan Nad sejak dia dirawat di ICU sebuah hospital swasta di ibu kota lebih seminggu lalu.
kredit: mhiburan