'Mujur tak ada yang cedera' - Shuib

KEDAI yang dilanggar  pemandu SUV. FOTO ihsan pembaca
KEDAI yang dilanggar pemandu SUV. FOTO ihsan pembaca

 

Kuala Lumpur: "Mungkin pemandu ingat 'outlet' ni pandu lalu. Tapi, Alhamdulillah semuanya okay, tiada kemalangan.

Itu hantaran dimuat naik pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib yang memaparkan cawangan outlet kedai minuman di Meru, Ipoh, Perak, rosak teruk akibat dilanggar seorang pemandu sebuah SUV, semalam.


Shuib, 38, atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata, dia bersyukur kerana tidak ada membabitkan kemalangan jiwa.

"Alhamdulillah, tidak ada apa yang membimbangkan dan tak ada kemalangan jiwa. Pihak pengurusan juga sudah berbincang baik dengan individu yang melanggar itu. Katanya, dia tertekan minyak, tapi tak ada masalahlah sebab semuanya berjalan lancar.

"Benda boleh buat tuntutan insurans, jadi ia  tak memeningkan kepala. Tak perlu nak bergaduh dan menyalahkan sesiapa. Kita anggap ia sebagai kemalangan. Kita pun tak nak, tapi ia dah berlaku.

"Apa yang penting tidak ada kemalangan jiwa. Nasib baik tidak ada kanak-kanak di depan tu. Kalau ada pening juga nak menjawab," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shuib, susulan kejadian pihak pengurusan 'outlet' sudah membuat laporan polis.

"Laporan polis pun sudah dibuat semalam. Cuma, masih belum memastikan anggaran kerosakan. Alhamdulillah pihak yang melanggar itu pun memberikan kerjasama yang baik. Jadi, tidak ada apa-apa. Semua okay," katanya.

Sementara itu, seorang pengikut Instagram Shuib yang menggunakan akaun @aminyahayabberkongsi kejadian itu disebabkan pemandu tersilap tekan pedal minyak.

"Kereta tu kereta sekolah saya. Orang yang memandu tu guru saya. Kemungkinan tersilap tekan minyak. Mohon maaf daripada pihak kami. Pihak sekolah sedang selesaikan bersama pihak (kedai)," tulisnya di ruangan komen.

Disiarkan pada: Oktober 14, 2022 @ 10:32am